Minggu lalu, foto pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie bersama anaknya, Jaenella Nika Mandagie yang memakai selimut jenama mewah, Hermes bernilai RM4,000 mendapat perhatian netizen. Ada yang mengatakan Jovian terlalu ingin mempamerkan kemewahannya.
Menurut Jovian, beliau tidak pernah berniat untuk riak apatah lagi muat naik beliau di Instagram adalah tentang cahaya matanya dan bukanlah mengenai selimut tersebut.
Rasanya saya tidak riak mahupun berniat untuk menunjuk-nunjuk sewaktu memuatnaik gambar di IG dengan tanda jenama atau menyebut harga selimut itu. Malah, entri saya bukan bercakap mengenai selimut terbabit, tetapi perihal anak saya. Banyak lagi cara untuk menunjuk kalau nak riak atau berlaku sombong.
Mengenai harga yang saya bayar juga, nilai itu berpatutan dengan kualiti produk terbabit. Ia selimut daripada bulu biri-biri yang disulam tangan, buatan Perancis. Saya anggap ia sebagai sejenis ‘pelaburan’ kerana selimut itu boleh digunakan sehingga umur Nika mencecah lima hingga enam tahun nanti.
Jovian tidak mahu terlalu mengambil pusing dengan komen netizen dan menyifatkan mereka yang suka mengkritik itu sebenarnya iri hati dengan apa yang beliau miliki.