Usahawan, Jofliam, mencuri perhatian warganet apabila berkongsi jumlah yuran persekolahan yang dibelanjakan untuk dua orang cahaya matanya, Han dan Yuki, sepanjang tahun 2025.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story, Jofliam menjawab pertanyaan warganet berhubung kos pendidikan anak-anaknya, sekali gus mendedahkan jumlah perbelanjaan yang mencecah puluhan ribu ringgit setahun.
“Tahun lepas, untuk semester bulan Januari sampai April saya bayar yuran Han, RM22,000. Kemudian untuk semester bulan Jun sampai Disember, RM 27,000. Jadi untuk Han sahaja RM49,000.”
“Yuki pula, RM16,000 dan total kesemuanya adalah RM65,000 untuk setahun (2025). Han pula masuk sekolah baharu, tapi ada sedikit perbezaan daripada sekolah lama dia. Yuran sekolah untuk 2025 sahaja, tak termasuk benda-benda lain untuk belajar.”
Walaupun jumlah tersebut dianggap besar, Jofliam berpandangan kos berkenaan masih berbaloi dan mampu ditanggung berbanding yuran sekolah lain yang pernah dipertimbangkan sebelum ini.
“Alhamdulillah, bagi saya masih affordable lagi untuk saya. Sebelum-sebelum ini mahal, dah macam yuran universiti. Mahal, hampir RM100,000 juga setahun.”
Dalam masa sama, pengusaha piza wagyu itu turut mengimbas kembali pengalaman mencabar apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar dalam tempoh singkat bagi pendidikan serta rawatan kesihatan anak-anaknya.
“Cakap tentang yuran sekolah, teringat tahun lepas, gila..masa bulan Januari tu saya kena selesaikan yuran Han RM22,000. Dalam masa yang sama, Han tiba-tiba masuk hospital selama 10 hari. Kemudian Yuki pula masuk.”
“Dekat hospital memang saya jaga seorang dan tiap-tiap hari tidur di situ, yuran RM22,000. Jadi untuk bulan itu sahaja saya dah berbelanja hampir RM50,000, hanya untuk anak-anak tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan. Dalam banyak-banyak ini yang paling saya ingat lah, kena keluar RM50,000 sekaligus.” kongsinya lagi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
