Joe Flizzow merupakan nama yang besar dalam industri seni dan juga genre muzik hip hop. Siapa sahaja yang tidak kenal dengan kumpulan Too Phat yang mempopularkan lagu hip hop di negara Malaysia pada awal kemunculannya. Kini bergerak solo, nama Joe masih lagi menjadi buah mulut peminat muzik tempatan.
Walaupun usianya sudah menghampiri 40 tahun, tetapi dia masih lagi senang dengan kehidupan solonya tanpa isteri di sisi. Jarang bercerita mengenai kehidupan peribadinya, akhirnya Joe dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan!
Aishah Ali iaitu ibu Joe menjelaskan bahawa anak lelakinya itu mungkin sudah bersedia untuk berkahwin setelah berjaya mendapat pencapaian yang membanggakan.
Kira-kira sebulan lepas, Joe telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Def Jam Asia Tenggara.
Secara peribadi, saya merasakan selepas kejayaannya itu, barulah dia mahu berkahwin.
Penyanyi dan penulis lirik itu difahamkan sudah merisik teman wanitanya Marini Ramlan dan dikatakan bakal melangsungkan pernikahannya awal tahun depan walaupun mereka belum menetapkan tarikh yang spesifik lagi.
Bagi yang tidak mengenali teman wanita Joe ini, dia sebenarnya ialah Ketua Pengurus Besar Inovasi Kandungan & Digital Primeworks Studios Sdn Bhd. Selain itu, wanita ini juga merupakan seorang pelukis yang berbakat.
Dia yang menggunkan nama Nini Marini dalam dunia seni lukis tempatan juga amat popular dalam gelanggang itu. Wanita berdarah seni ini terkenal dengan lukisannya yang berkonsepkan kontemporari.
Tahniah diucapkan kepada Joe Flizzow dan Marini Ramlan yang bakal menamatkan kehidupan bujang mereka pada tahun hadapan. Semoga segala persiapan berjalan dengan lancar.