Ahli kumpulan BTS, Jimin sekali lagi menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan pelakon Song Da-eun berhubung dakwaan hubungan cinta dan tinggal serumah yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
Spekulasi kembali hangat apabila Song Da-eun memuat naik video di TikTok menunjukkan dirinya menunggu seseorang di depan lif apartmen sebelum menyambut kehadiran Jimin. Lokasi rakaman dipercayai di Hannam-dong, Yongsan, Seoul, kediaman sama yang didiami Jimin.
Hubungan mereka mula diperkatakan sejak 2022 apabila Song Da-eun berkongsi beberapa hantaran mencurigakan, termasuk bekas telinga tanpa wayar dengan inisial namanya bersama Jimin, serta gambar memakai t-shirt rasmi BTS bertulis lagu ‘MIC Drop’. Tindakan itu mencetuskan spekulasi kuat dalam kalangan peminat.
Song Da-eun sebelum ini pernah memberi bayangan mengakui hubungannya dengan Jimin serta menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap komen melampau. Namun, sehingga kini Jimin dan agensinya, BigHit Music, kekal berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi.
Untuk rekod, Song Da-eun memulakan kerjaya lakonan pada 2011 dan mula dikenali selepas muncul dalam rancangan realiti ‘Heart Signal 2’ pada 2018. Jimin pula debut bersama BTS pada 2013 dan baru menamatkan khidmat ketenteraan Jun lalu. BTS dijadualkan membuat kemunculan semula pada musim bunga 2026 dengan album baharu serta jelajah dunia.