Sejak DidikTV KPM disiarkan minggu lepas, ternyata ia dapat membantu pelajar untuk mengulangkaji dengan mudah kerana jika terlepas segmen atau subjek, mereka boleh menonton semula rakaman di saluran YouTube.
Pilihan untuk menonton di TV atau YouTube dianggap dapat meningkatkan lagi kefahaman di samping dapat menonton berulang kali terutama dalam subjek yang memerlukan daya ingatan untuk menghafal atau mengira.
Sementara itu, Nur Adriana Rosdan, 16 yang merupakan pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut berkata dia tidak risau sekiranya berlaku pertembungan masa antara program di saluran ntv7 itu dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bersama guru dan rakan.
“Jika terlepas sesuatu segmen atau subjek di televisyen, saya boleh menonton semula rakaman di saluran YouTube”
“Kadang-kadang ada topik yang dibincangkan menerusi PdPR yang memerlukan pencerahan yang lebih mendalam dan DidikTV KPM dapat membantu kami memahami sesuatu subjek secara lebih kreatif dan mudah dengan penggunaan audio serta visual yang menarik”.
Selain itu, adiknya Darwisy Iman Rosdan, 10 iaitu murid tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja juga berkata DidikTV KPM memudahkan proses mengulang kaji bersama keluarga.
“Jika masih tidak faham, saya boleh minta bantuan kakak atau ibu untuk sama-sama menonton subjek yang diajar di DidikTV KPM dan mereka terangkan semula kepada saya. Belajar TV lebih mudah ditonton bersama keluarga dan tidak perlu berkongsi gajet seperti telefon untuk menonton DidikTV”.
Manakala di Tanjung Malim, Kamarul Azri Awang iaitu guru di SK FELDA Sungai Behrang menjelaskan DidikTV KPM adalah berita gembira bagi golongan pendidik yang dilihat sebagai medium PdPR dalam suasana yang lebih santai, namun padat dengan pengisian dan mudah difahami murid.
“Dengan DidikTV KPM, mereka hanya perlu meneliti jadual harian dan bersedia sebelum menonton supaya lebih mudah memahami apa yang diajar, manakala guru boleh menimba ilmu dari segi penyampaian kandungan”.
Dalam masa yang sama, murid juga dapat belajar dalam suasana yang kondusif tanpa perlu melihat telefon yang ada kalanya berdepan dengan gangguan capaian internet.