Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana mendedahkan sudah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berlayar menuju Gaza.
Menurut Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, antara prosedur penting yang perlu dipatuhi adalah memastikan rakaman langsung kecemasan atau SOS dilakukan sebagai bukti keadaan sebenar di atas kapal sekiranya diserang rejim Zionis Israel.
“Jika telefon dibuang ke laut, itu bermaksud saya sudah ditangkap,” katanya ketika membuat siaran langsung di TikTok.
Beliau menjelaskan, semua sukarelawan dimaklumkan mengenai langkah keselamatan termasuk keperluan merakam keadaan kapal bagi membuktikan ia hanya membawa misi bantuan tanpa sebarang senjata.
Setiap barangan tajam seperti pisau dan garfu juga akan dikumpulkan lalu dibuang ke laut, manakala rakaman langsung diteruskan sehingga arahan untuk melepaskan telefon diberikan oleh ketua misi.
Saya akan jadi orang terakhir membuang telefon, supaya dunia masih sempat melihat siapa yang menindas siapa.
Ardell turut menegaskan bahawa apabila telefon sudah dibuang ke laut, ia menandakan semua sukarelawan ditawan dan hubungan dengan dunia luar terputus sepenuhnya.
Meskipun menyedari risiko besar, Ardell menegaskan pasukan flotilla tidak akan goyah menembusi sekatan Israel kerana misi ini adalah simbol solidariti buat rakyat Palestin yang sekian lama hidup dalam kepungan.
Apa pun berlaku, akan ada barisan kedua, ketiga dan seterusnya yang akan cuba lagi. Insya-Allah, pemberani lain akan muncul.
Ardell turut merayu orang ramai supaya terus memberikan sokongan kepada usaha flotilla, sama ada melalui doa mahupun meningkatkan kesedaran terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.