Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai agar meneliti peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 99 Kanun Keseksaan bagi memahami hak sebenar untuk mempertahankan diri sebelum membuat sebarang andaian dan spekulasi.
Khalid berkata sedemikian ketika mengulas mengenai siasatan berhubung keputusan untuk mendakwa seorang lelaki yang membunuh perompak ketika mempertahankan dirinya di Terengganu.
Pertuduhan tersebut telah mendatangkan kemarahan dalam kalangan netizen.
Selain itu, Khalid juga mempertikaikan peranan Majlis Peguam dan peguam hak asasi manusia kerana tidak mendidik orang ramai mengenainya terlebih dahulu.
“Jika seseorang merompak kita, itu tidak bermakna kita boleh membunuhnya.
“Seksyen 99 Kanun Keseksaan menyatakan dengan jelas had untuk mempertahankan diri, bukan hanya kepada orang ramai tetapi kepada kita juga (polis).
“Apabila ia melibatkan perkara lain, Majlis Peguam pantas mengeluarkan kenyataan tetapi mengapa senyap mengenai perkara ini?
“Disinilah Majlis Peguam memainkan peranan dalam mendidik orang ramai,” katanya sebagaimana lapor mStar Online.
Hak bagi mempertahankan diri tidak meliputi melakukan lebih banyak kemudaratan berbanding yang sepatutnya, tegas beliau.