Pelakon, Diana Danielle meluahkan rasa kesal di aplikasi Threads miliknya apabila dia menerima reaksi yang kurang menyenangkan daripada netizen selepas memberitahu solat adalah sumber kekuatannya kini.
Diana Danielle atau nama sebenarnya Diana Danielle Beeson berpendapat bahawa tiada individu yang berhak memandang rendah terhadap seseorang yang sedang berjuang untuk mengubah diri mereka ke arah yang lebih baik.
Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama sering kali “Tutup aurat dulu.” Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat?
Dia turut berkata setiap orang sedang bergelut melawan ‘nafsu’ masing-masing namun apa yang penting adalah apabila semua berusaha ke arah kebaikan.
Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan ‘nafsu’ masing-masing. Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan.
Dia turut berkata ia bukanlah sesuatu yang pelik jika wanita yang belum berhijab sepertinya mendirikan solat.
Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung bagitahu mereka solat? Kan setiap orang ada ujian berbeza. Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.
Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia.
View on Threads
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menasihatinya untuk mengabaikan komen yang negatif itu.