Dua dekad lalu, kebanyakan kes jangkitan HIV di negara ini berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan pengguna dadah.
Namun, situasi tersebut telah berubah, dengan jangkitan HIV melalui hubungan seks kini menjadi penyebab utama kes yang dilaporkan dalam beberapa tahun terakhir.
Menurut statistik jangkitan HIV yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 135,035 kes telah dicatatkan dari tahun 1986 hingga 2023.
Memetik Harian Metro, pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 3,220 kes jangkitan HIV dilaporkan di seluruh negara, dengan 95 peratus daripadanya disebabkan oleh transmisi seksual, manakala 3 peratus lagi berpunca daripada penagihan dadah, dan 2 peratus melibatkan faktor lain.
Kategori umur antara 20 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan baharu HIV, iaitu sebanyak 44 peratus daripada keseluruhan kes.
Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr. Zaiton Yahaya, menyatakan bahawa statistik KKM menunjukkan 62 peratus kes transmisi seksual berlaku dalam kalangan jantina sejenis, manakala 33 peratus lagi melibatkan hubungan heteroseksual.
Dr. Zaiton menjelaskan bahawa sikap negatif terhadap HIV dan AIDS serta stigma mengenai cara jangkitan penyakit tersebut dalam masyarakat menyebabkan peningkatan penularan HIV.
Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyampaikan maklumat kepada mereka dan memberi kesedaran mengenai cara jangkitan dan pencegahan untuk mengelakkan daripada dijangkiti.
Selain itu, MAC dan MAF berkerjasama rapat dengan KKM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani penularan epidemik HIV serta mengurangkan kesan negatifnya terhadap masyarakat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.