Pelakon Mimi Lana meluahkan rasa terkejut, marah dan kecewa susulan pendedahan mengejutkan berkaitan dakwaan eksploitasi serta pemerdagangan manusia melibatkan wanita dan kanak-kanak dalam industri hiburan tempatan.
Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, berkata perkongsian yang didengar menerusi sebuah audio siar melibatkan pelakon Puteri Balqis bersama ibunya memberi kesan emosi yang amat mendalam sehingga mengganggu ketenangan fikirannya.

Pelakon filem Mencari Ramlee itu menyifatkan pendedahan berkenaan sebagai gambaran kejam terhadap perjuangan seorang ibu yang berusaha membesarkan anak dalam dunia lakonan, namun didakwa dilayan dengan hina dan tidak berperikemanusiaan.
“Ini kisah seorang ibu berhempas pulas membesarkan anak sebagai pelakon, tetapi didakwa diperlakukan dengan jijik, kejam dan tidak bermaruah.
“Lebih mengejutkan, dakwaan itu melibatkan seorang artis wanita veteran serta seorang ahli politik. Malaysia ada undang-undang. Perkara seperti ini langsung tidak patut berlaku,” luahnya.
Isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu turut menegaskan bahawa persekitaran kerja seharusnya menjadi ruang selamat, bukannya medan memburu mangsa terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Bekas peserta Dewi Remaja itu turut menggesa pihak berkuasa supaya memandang serius dakwaan tersebut dan menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
“Saya sangat berharap pihak polis memandang isu ini dengan penuh keseriusan. Bukan sekadar dengar, tetapi siasat sampai ke akar.”
“Setiap kali kita memilih untuk diam, kita sebenarnya membenarkan perkara ini berulang. Kita tak mahu negara ini ada ‘Jeffrey Epstein’ versi sendiri. Pemerdagangan manusia perbuatan keji,” tegasnya.
Terdahulu, ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, mendedahkan pengalaman hitam yang dilalui ketika anaknya berdepan masalah penglihatan hingga berada dalam keadaan terdesak.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan din bawah.
