Selepas pelakon Jeon So-min meninggalkan ‘Running Man’, kini giliran pendatang baharu Ji Ye-eun pula menjadi perhatian apabila diumumkan bakal menghentikan aktiviti seni buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada kesihatan.
Menurut agensinya, CP Entertainment, Ji Ye-eun akan mula berehat bermula September ini untuk fokus kepada rawatan serta pemulihan, dan syarikat akan memberikan segala sokongan yang diperlukan sehingga dia kembali aktif.
Ji Ye-eun sebelum ini mencuri perhatian dalam ‘SNL Korea’ dan siri ‘Office Workers’, sebelum diserap masuk sebagai ahli tetap ‘Running Man’ pada Disember 2023, menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Jeon So-min.
Kehadirannya disambut dengan harapan tinggi, namun sejak kebelakangan ini dia dilaporkan menerima kritikan dan komen negatif daripada segelintir penonton.
Walaupun punca sebenar masalah kesihatan Ji Ye-eun tidak didedahkan, ramai pihak mengaitkannya dengan tekanan akibat serangan komen melampau yang sering menghantui ahli wanita ‘Running Man’. Sebelum ini, Jeon So-min juga pernah menjadi mangsa kecaman berterusan sehingga akhirnya memilih untuk berundur pada 2023.
Pihak produksi ‘Running Man’ sebelum ini turut merayu peminat agar terus menyokong Ji Ye-eun, namun dengan pengumuman terbaharu ini, peminat hanya mampu menanti kepulangan semulanya selepas berehat.