Pelawak terkenal, Jep Sepahtu, mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio di Sinar FM selepas 10 tahun berkhidmat.
Pengumuman itu dibuat oleh Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nazri Zainal Abidin, 41, menerusi satu hantaran di Instagram, dengan memaklumkan bahawa hari ini merupakan Jumaat terakhir beliau bertugas sebagai penyampai radio di stesen berkenaan.
“Alhamdulillah izin Allah 10 tahun tumpang cari rezeki di sini. Daripada bujang, kahwin sampailah dah ada anak.”
“Terima kasih Sinar FM untuk jasa yang tak terbalas,” tulisnya.
Suami kepada pelakon Sari Yanti itu turut menzahirkan penghargaan istimewa kepada bekas majikannya yang disifatkan sebagai insan penting dalam perjalanan kerjayanya.
“Ini bekas bos aku. Aku anggap dia macam kakak aku sendiri sebab hormat aku lebih tinggi daripada jawatan dia. Terima kasih Shidah Khasim untuk segala kebaikan kau buat untuk aku. Sampai jumpa lagi,” tulis Jep.
Sepanjang tempoh berkhidmat di Sinar FM, Jep menjadi antara suara yang menceriakan pendengar setiap pagi menerusi segmen Pagi Di Sinar bersama Rahim dan Ray.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan kehilangan susulan pengunduran Jep, dengan ramai mengakui celoteh dan jenaka beliau sentiasa menceriakan pagi mereka.
“Hilanglah sinar di Sinar FM bila Jep dah tak ada. Suka dengar Jep merapu,” antara komen netizen.
Pengunduran Jep sekali gus menandakan berakhirnya satu era dalam segmen pagi Sinar FM yang sinonim dengan gelak tawa dan hiburan santai.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
