Keluarga seorang frontliner di Indonesia berhadapan dengan situasi menyedihkan apabila jenazah ahli keluarga mereka tidak diterima untuk dikebumikan oleh penduduk kampung. Jenazah tersebut merupakan salah seorang frontliner yang terkorban semasa bertugas membanteras wabak COVID-19.
Di atas permintaan keluarga, jenazah tersebut akan dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Siwarak berdekatan dengan kubur milik arwah ayah mangsa. Segala persiapan telah dilakukan malah kubur untuk jenazah juga sudah siap digali sebelum segalanya dihalang oleh penduduk setempat.
Tolak pemakaman Covid-19
Masyarakat setempat telah berkumpul dan menolak sekeras-kerasnya pengebumian mangsa COVID-19 itu di tempat mereka. Walaupun telah diyakinkan segala prosedur dilakukan mengikut nasihat hospital, mereka tetap dengan keputusan mereka menolak pengebumian tersebut.
Perkara tersebut kemudiannya berlarutan sehingga ke waktu Maghrib dan tidak dapat menemui kata sepakat dengan penduduk di situ. Malah, ibu mangsa yang berada di tempat kejadian turut merayu sambil menangis teresak-esak untuk membenarkan jenazah anaknya dikebumikan berhampiran kubur arwah suaminya.
Jenazah mangsa kemudian selamat dikebumikan di tanah perkuburan yang lain di mana berhampiran di tempat dia bertugas sebagai frontliner dahulu. Apa yang menyedihkan, semasa hayatnya, mangsa bertungkus lumus membantu merawat pesakit COVID-19 namun urusan pengebumiannya ditolak penduduk tempatan.
Untuk makluman, sudah beberapa kali urusan pengebumian melibatkan jenazah COVID-19 dihalang oleh masyarakat tempatan di Indonesia. Hanya kerana panik yang keterlaluan, penduduk tempatan sanggup berkumpul dan menghalang urusan pengebumian tanpa belas kasihan.
Artikel berkaitan: Urusan Pengebumian COVID-19 Di Indonesia Dihalang Oleh Masyarakat Kerana Bimbang Akan Turut Dijangkiti