Baru-baru ini, satu hantaran di Facebook mengenai air mineral 1.25 liter dijual dengan harga RM10 telah menarik perhatian ramai.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah kedai di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terbaru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah membuat serbuan di premis berkenaan dan dikenakan kompaun sebanyak RM200.
Setelah menerima maklumat awam berkaitan harga air mineral tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Port Dickson terus membuat pemeriksaan di premis itu pada jam 11 pagi, Rabu.
Difahamkan, pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan memaklumkan kompaun tersebut dikenakan serta-merta keatas premis tersebut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Bahkan, kedai tersebut tidak meletakkan tanda harga pada produk air mineral yang dijual dan itu melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.