Seperti yang diketahui ramai, musim ibadah haji telah pun selesai dan para jemaah kini bersiap sedia untuk pulang ke tanah air masing-masing. Namun, suasana pilu menyelubungi jemaah Malaysia apabila seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang jemaah bernama Anwar memaklumkan bahawa Ghazali Ab. Rahman, 74, telah menghembuskan nafas terakhir ketika waktu Subuh di biliknya akibat keuzuran.
Menurut hantaran tersebut, arwah difahamkan menginap dua bilik dari Anwar dan arwah dikatakan sedang demam namun tetap tenang dan banyak berehat.
Katanya, arwah sudah merancang bersama rakan sebiliknya untuk ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.
Namun, ketika dikejutkan tiada lagi respon. Bibirnya sudah membiru. Arwah telah pergi. Tenang di dalam bilik, dalam suasana ibadah, di bumi paling suci di atas muka bumi ini.
Lebih menyentuh perasaan, isteri arwah dikhabarkan telah meninggal dunia dua tahun lalu di Mekah ketika menunaikan umrah.
Dalam kesempatan haji kali ini, arwah sempat menziarahi pusara isterinya, seolah-olah melengkapkan kisah cinta mereka di dunia dengan penuh tenang dan hormat.
Menurut Anwar, beberapa hari sebelum pemergiannya, arwah Ghazali mengemas semua barang peribadi dengan begitu teratur, walaupun tarikh pulangnya ke Malaysia masih lama lagi. Seolah-olah dia sudah tahu masanya hampir tiba, sudah bersedia dan sudah reda.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.