December 29th, 2015

Hujung minggu lepas pelakon yang semakin popular, Janna Nick telah dikecam hebat oleh pengguna media sosial apabila beliau memuat naik foto daripada filem  Hindi, Dilwale dengan status unsur gurauan bahawa pesawat MH370 sudah ditemui menerusi akaun Twitter beliau.

Ia membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang menganggap Janna tidak sensitif dengan perasaan keluarga mangsa nahas pesawat tersebut dan mempersendakan kejadian yang sehingga kini menjadi misteri.

Sedar ia menjadi perkara viral, Janna sudah memadam “tweet” tersebut dan tampil memohon maaf mengenai perkara berkenaan. Jelasnya, beliau tidak pernah berniat untuk membuat mana-mana pihak tersinggung.

Asalnya saya sedang menonton filem Hindustan iaitu Dilwale. Kemudian saya mengambil gambar sebuah kapal terbang kosong menerusi salah satu babak filem tersebut dan terus memuat naik di Twitter kerana menganggap perkara itu lawak.

Selepas selesai menonton, saya tengok semula Twitter, dan mendapat kritikan teruk daripada ramai orang. Dan saya terus memadamkan gambar tersebut. Diakui, salah saya kerana tidak prihatin dengan isu serius seperti ini dan saya memohon maaf atas kesilapan ini.

Mengakui dirinya masih lagi anak muda yang “mentah” dan tidak boleh lari daripada membuat kesilapan, Janna bagaimanapun bersikap terbuka untuk menerima sebarang teguran.

Saya masih muda dan suka buat perkara yang kita sendiri tidak sedar ia adalah satu kesalahan. Tetapi saya juga seorang yang mudah menerima teguran dan akan memadamkan gambar-gambar yang membuatkan pengikut-pengikut kurang senang.

Kadang-kadang saya lupa bahawa saya ini adalah seorang selebriti di mana orang perhatikan setiap gerak geri kita.

Biarpun sekadar gurauan perkara seperti isu MH370 ini bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main-main, seluruh rakyat Malaysia cukup terkesan dengan insiden tersebut dan semestinya keluarga mereka lebih menderita bukan? Harapnya selepas ini Janna Nick akan fikir dahulu sebelum membuat sesuatu agar ia tidak mencalarkan imej anda sebagai seorang artis yang baharu sahaja ingin mengecapi populariti.

Sumber Berita: mStar Online


Comments are closed.

Loading...