Pelakon dan pengarah filem Haryanvi, Uttar Kumar ditahan pihak polis selepas didakwa mengeksploitasi seorang pelakon wanita dengan janji akan menawarkan watak filem sekiranya bersetuju melakukan hubungan seks dengannya.
Kumar, 52, diberkas di kediamannya di Amroha, Uttar Pradesh pada jam 4.30 pagi Ahad ketika sedang tidur. Difahamkan, kesihatannya merosot selepas ditahan kerana terlalu takut berdepan hukuman penjara, sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.
Mangsa, seorang pelakon dari Hapur, mendakwa hubungannya dengan Kumar bermula sejak Ogos 2020 selepas pertemuan dalam industri filem dan muzik Haryanvi. Sepanjang tempoh itu, Kumar berulang kali berjanji akan memberinya peranan besar termasuk watak utama dalam sebuah filem pada 2023.
Pada 24 Jun lalu, mangsa membuat laporan polis namun aduannya tidak diambil tindakan walaupun sudah memberikan lokasi Kumar. Kecewa dengan situasi itu, mangsa bertindak nekad cuba membakar diri di hadapan kediaman rasmi Ketua Menteri di Lucknow pada 6 September lalu sebagai tanda protes, namun berjaya dihalang anggota polis yang bertugas.
Insiden tersebut akhirnya menarik perhatian ramai sehingga pihak berkuasa terpaksa bertindak menahan Kumar bagi membantu siasatan dakwaan eksploitasi seksual yang dilaporkan berlarutan sejak beberapa tahun lalu.