Sejak mula ditayangkan pada awal Ramadan, drama ‘Bukan Gadis Biasa’ telah menerima bertubi-tubi kecaman kerana beberapa aspek naskhah itu yang tidak dapat diterima penonton.
Antara kritikan yang dihamburkan ialah suntingan compang-camping dan juga solekan watak Opah Aminah yang nampak tidak realistik. Tak kurang juga watak itu yang turut dikecam kerana pergerakan badan dan juga lontaran suara gurau yang terlalu ‘over’ bagi usianya
Disebabkan oleh kritikan yang tidak henti menghujani ‘Bukan Gadis Biasa’, Ayda Jebat selaku pelakon utamanya memahami segala komen yang diberikan oleh penonton selain turut memohon maaf.
“Saya mohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkara terbabit. Penonton sekarang sudah semakin bijak dan boleh melihat sendiri kekhilafan itu.”
Pelakon wanita itu turut meminta orang ramai agar tidak menyalahkan editor atau pun penyunting atas kesilapan menyunting sekuen antara babak dalam drama itu.
“Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai seorang pelakon, saya terlupa ‘conti’ lakonan saya. Sekejap berdiri, sekejap duduk.”
Jelasnya lagi, krew yang menguruskan bahagian konti juga mungkin terlepas pandang isu tersebut lantas mengekang editor untuk menyunting babak tersebut dengan sempurna kerana terpaksa menggunakan visual yang sedia ada sahaja.
Walaubagaimanapun, Ayda meluahkan rasa syukur kerana ‘Bukan Gadis Biasa’ tetap mendapat sambutan ramai meskipun ‘diserang’ dengan pelbagai kontroversi sejak mula ditayangkan.
Wanita ini turut berterima kasih kerana masih ramai lagi penonton lain yang mengambil nilai positif yang diselitkan di dalam drama itu sebagai pedoman hidup.
Ayda juga meluahkan bahawa dia berharap agar penonton terus melihat ‘Bukan Gadis Biasa’ daripada sudut positif.
“Segalanya yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri.”