Pempengaruh dan usahawan sensasi, Kak KM, menafikan dakwaan kononnya dia menjadi individu yang menyebarkan kisah pergolakan rumah tangga kakaknya, Kak Nona, yang kini dalam proses perceraian sehingga tular di media sosial.
Menurut Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli, 45, tuduhan mengaitkan dirinya dalam urusan peribadi orang lain adalah tidak berasas.
“Saya tak pernah pun sebut tentang rumah tangga dia. Apa berlaku, dia sendiri bercakap. Itu kehidupan dia, bukan saya.”
“Bila orang tanya Kak Nona, ‘Suami mana?’ dia jawab balik kampung. Lepas itu suami pula buat siaran langsung, orang tanya, ‘Abang tengah pujuk Kak Nona ke?’,” katanya kepada Kosmo! Online.
Anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri itu berkata namanya sering dipetik seolah-olah menjadi pencetus tersebarnya isu perceraian tersebut, sedangkan perkara itu tidak pernah keluar daripada mulutnya.
“Jadi jangan petik nama saya dan cakap saya kata dia nak bercerai. Demi Allah, saya tak pernah cakap begitu.”
“Buang masa nak cerita hal orang. Rumah tangga sendiri pun belum tentu terjaga. Tak payah petik-petik nama saya,” ujarnya ketika ditemui pada acara Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026, semalam.
Kak KM turut mengakui tuduhan tersebut memberi kesan emosi kepadanya kerana selama ini dia memilih untuk berdiam diri walaupun pernah melalui konflik keluarga tanpa mendedahkannya kepada umum.
Terdahulu, timbul dakwaan di media sosial bahawa Kak KM menjadi individu yang menyebarkan masalah rumah tangga kakaknya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
