Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar tidak memperlekeh keputusan kerajaan memberikan bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dalam perhimpunan di Kementerian Kewangan, Anwar menjelaskan bahawa walaupun jumlah itu mungkin kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, ia amat bermakna buat keluarga berpendapatan rendah.
Beliau turut menegaskan, bagi keluarga B40 yang mempunyai dua anak berusia 18 tahun ke atas, kesemua ahli keluarga boleh menerima bantuan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan RM400. Digabungkan dengan bantuan STR dan SARA sedia ada, mereka boleh menerima sehingga RM700.
Menurut Anwar, tambahan itu bukanlah jumlah kecil, terutamanya bagi mereka yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.
Bantuan RM100 ini diumumkan pada Rabu dan akan diberikan terus ke dalam MyKad. Ia merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia bantuan tunai diberikan kepada semua warganegara dewasa tanpa mengira tahap pendapatan. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban ekonomi rakyat.