Walau seberhati-hati mana pun kita, ada ketikanya berlaku juga kesilapan memasukkan nombor akaun, hingga duit tersalah pindah ke akaun orang lain tanpa disedari.
Kebiasaannya, situasi ini akan buat kita panik dan mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan semula wang tersebut, walaupun tahu peluangnya tipis kerana kesilapan datang daripada kita sendiri.
Namun, perkongsian seorang wanita tempatan bernama Nursyira Natasha di Facebook telah mencuri perhatian ramai apabila dia berjaya mendapatkan semula wang yang tersalah pindah dengan cara yang tak disangka-sangka.
Kisahnya bermula apabila dia tersilap memasukkan satu digit nombor akaun, menyebabkan wang deposit sebanyak RM1,700 dimasukkan ke akaun orang lain.
Dalam keadaan cemas, dia mencuba satu ikhtiar dengan menghantar beberapa transaksi kecil ke akaun tersebut, disertakan mesej pendek di bahagian “reference” untuk menarik perhatian pemilik akaun.
Mula-mula saya letak Instagram sebab ingatkan tak boleh masukkan nombor. Lepas setengah jam tunggu takde respon, saya cuba letak nombor telefon pula.
Disebabkan ruang aksara yang terhad, dia terpaksa menghantar beberapa kali mesej dengan nombor telefon. Usaha itu akhirnya berhasil apabila penerima menyedari mesej tersebut dan menghubunginya untuk pengesahan.
Berdasarkan tangkap layar transaksi yang dikongsikan, individu berkenaan telah memulangkan semula keseluruhan wang RM1,700 yang tersilap dihantar.
Untuk makluman, pemindahan RM1,700 itu dibuat melalui mesin deposit tunai (CDM), jadi tiada nama penerima yang tertera pada resit transaksi.
Perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi daripada netizen — ramai terharu dan bersyukur kerana masih wujud insan jujur dalam masyarakat hari ini.
Apa pun, kejayaan trik ini tetap bergantung kepada kejujuran penerima. Diharapkan lebih ramai orang bersikap amanah kerana wang yang tersalah terima itu tetap merupakan hak orang lain.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.