Rasanya ramai yang sudah berhadapan dengan situasi janggal sewaktu bersalaman dengan orang yang lebih tua, dimana baru saja mahu tunduk tetapi tangan sudah ditarik.
Situasi tersebut baru-baru ini, menjadi bualan di media sosial dan ramai menganggap hal tersebut sememangnya tidak berakhlak buat anak-anak muda.
Hal terbabit mula menjadi bualan setelah ada seorang individu memuat naik video di TikTok memaparkan situasi berkenaan dengan meluahkan tindakan tersebut adalah kurang ajar.
Teguran untuk orang tua. Kalau anda tunjuk contoh tak elok, jangan komplen mana perginya adab orang muda. Ia hilang sebab perangai kamu pic.twitter.com/wycQj3Y7cn
— TikTok Berguna (@TikTokBerguna) February 12, 2023
Bahkan pemilik video tersebut mendakwa menarik tangan sewaktu sedang bersalaman itu seolah-olah melambangkan seseorang sedang marah ataupun individu yang melakukan perkara itu dianggap kurang akhlak. Dia turut berkongsikan cara yang betul seandainya mahu menolak salaman.
Biarpun ramai yang bersetuju dengan pendapat pemilik video itu, ada juga yang menjelaskan sebab seseorang individu menarik tangan sewaktu bersalaman.
Menurut pandangan mereka, tindakan menarik tangan sewaktu bersalaman itu melambangkan orang terbabit merendah diri dan memuliakan orang yang mahu mencium tangannya.