Sukan Olimpik Rio 2016 sudah berakhir. Atlet-atlet yang mendapat pingat Olimpik semuanya diberi ganjaran mewah dan membuatkan ramai memasang impian untuk melatih diri dan anak-anak dalam bidang sukan.
Gambar ehsan Perak Today
Namun begitu, terdapat desas-desus yang disebarkan di media sosial bahawa atlet kelainan upaya yang menyertai kejohanan Paralimpik dunia tidak menerima ganjaran serupa, malah diabaikan dan tidak dipedulikan walaupun pencapaian mereka sangat boleh dibanggakan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menulis di akaun Facebook miliknya bagi menjawab tuduhan ini:
Pertama saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyampaikan pandangan dan komen mengenai para atlet Paralimpik kita dalam media sosial. Saya sangat gembira sebab sekian lama merek tidak dapat perhatian sepertimana mereka dapat hari ini daripada ‘netizens’ Malaysia.
Namun demikian, izinkan saya juga memberi sedikit penerangan berkenaan posting-posting yang tersebar luas berkenaan kejayaan mereka (seperti gambar-gambar dibawah) seolah-olah mereka tidak diberi perhatian mahupun pengiktirafan oleh kerajaan sepertimana yang diberi kepada para atlet Olimpik tempoh hari.
Ada yang baru jumpa video Ridzuan Puzi yang telah menang pingat emas dalam acara 100m T36. Mereka share video ini seolah-olah kemenangan itu perkara baharu yang baharu sahaja berlaku. Sebenarnya, video itu daripada tahun 2015 di Kejohanan Dunia Olahraga Para bukannya di Paralimpik 2016. Paralimpik 2016 yang dianjurkan di Rio belum bermula lagi. Kontinjen Paralimpik Malaysia belum berlepas lagi (mereka berlepas esok) dan saya baru sahaja berjumpa dengan mereka petang tadi (ada gambar di bawah). Jadi mustahil berlaku apa-apa kemenangan Paralimpik 2016 sebab temasya tersebut belum bermula lagi.
Ada yang mungkin tanya, “OK lah, kalau benda tu benda yang lama, apa yang kamu buat? Takkan kamu tak iktiraf beliau?” Jawapannya semua ada pada gambar-gambar yang ada di bawah. Ridzuan Puzi diraikan dalam pelbagai acara. Beliau diberikan imbuhan yang sama seperti atlet ‘biasa’ (sejak saya dilantik Menteri Sukan insentif kemenangan bagi atlet ‘biasa’ dan atlet Para atau OKU adalah sama rata). Beliau menang anugerah di Anugerah Sukan Negara yang disiar secara langsung dengan keberangkatan DYMM SPB Yang di Pertuan Agong. Beliau di angkat sebagai Anak Muda Terbilang di Perhimpunan Pemuda UMNO. Biar gambar berbicara apa yang telah kita laksanakan. Sama juga untuk atlet para yang lain seperti Felicia Mikat yang juga dinobatkan di Anugerah Sukan Negara.
Petang tadi sewaktu saya berjumpa kontinjen Paralimpik negara saya mengulangi komitmen saya bahawa nilai pingat mereka sama dengan pingat di Olimpik dan mereka juga akan dapat elaun bulanan sepanjang hayat (pencen) sekiranya menang pingat sepertimana atlet ‘biasa’.
Mungkin ada yang juga kata tak ada publisiti, sebab itu orang tak tahu tentang semua ini. Mungkin ada kebenaran disitu. Tapi kalau semak FB saya, memang sentiasa saya mempromosikan atlet Paralimpik luarbiasa Malaysia. Saya telah tulis tentang perubahan dasar supaya mereka diberikan insentif atau imbuhan yang sama pada 2013. Tapi mungkin ramai yang tak sempat baca.
Namun walau apa pun, saya rasa gembira sebab walaupun ada yang kecam saya dengan fakta dan andaian yang tidak tepat, sekurang-kurangnya ramai yang mula pandang kepada para atlet OKU kita. Saya harap sokongan ini berterusan. Bukannya hanya waktu nak kecam pihak tertentu apabila benda yang tidak betul diviralkan.
Tolong kongsi pos ini dengan rakan-rakan anda. Bukan untuk saya tetapi rakyat perlu tahu yang atlet para kita dijaga dan diraikan saat tiada siapa pun beri perhatian.
Okaylah jika kamu tak sukakan saya dan kerajaan yang diwakili oleh saya tetapi jangan kata kami tak pedulikan atlet paralimpik. Saya menyokong atlet para kira sejak hari pertama memasuki pejabat dan akan terus menyokong mereka sehingga perkara lain pula yang jadi viral di kalangan netizen Malaysia.
Sementara itu, tolong sokong mereka di Sukan Paralimpik Rio yang akan datang. Mereka luar biasa. Dan saya yakin mereka akan mencipta sejarah yang luar biasa di Paralimpik Rio 2016.
Tulisan Khairy telah menjadi viral dan mendapat lebih 47,000 likes di Facebook.
Sumber: Khairy Jamaluddin