Orang ramai terutamanya wanita dan bayi dinasihatkan supaya berwaspada jika menggunakan pinggan mangkuk yang beraneka corak yang tular di media sosial.
Menurut Dr Nor Asrina Sairi yang merupakan seorang Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Universiti Malaya (UM), kebanyakan pinggan mangkuk mempunyai hiasan cantik ini mengandungi logam plumbum (lead) dalam penghasilannya.
“Bahaya untuk jangka masa panjang terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan bayi, tapi bahayanya itu bukanlah secara terus atau langsung.
“Ia lebih kepada kuantiti yang sedikit, tapi kalau kita kerap guna dan untuk jangka masa lama, ia akan beri kesan kepada kesihatan,” katanya.
Tular di media sosial gambar pinggan mangkuk bercorak menarik dan dijual semurah 50sen di Pasar Seni dan beberapa lokasi lain.
Beliau dalam masa sama menegaskan pinggan mangkuk berkenaan cuma sesuai dijadikan koleksi hiasan dan bukan untuk digunakan sebagai bekas makanan. Ini kerana plumbum terlekat di pinggan berkenaan mudah terhakis apabila terdedah kepada suhu panas.
“Saya cadangkan pengguna gunakannya untuk perhiasan atau koleksi, elakkan guna untuk hidang makanan harian.
“Kalau warna atau sadurannya di luar, itu OK lagi, tapi bila sekarang trend baru di bahagian dalam pun disalut, itu yang kita agak khuatir,”, kata beliau lagi.
Sumber : mStar Online