Hantaran di Instagram milik Irdina Hakim, anak kepada ahli perniagaan terkenal Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, menarik perhatian ramai selepas beliau memuat naik foto potongan akhbar bertajuk ‘Suami Pengasas Dnars Diperintah Pulangkan Semula Wang Tunai Milik Arwah Isteri RM1.3 Juta’.
Selain itu, Irdina turut berkongsi gambar dirinya bersama arwah ibu, serta foto seutas gelang tangan dan sebentuk cincin.
Masa berlalu dan Allah tak pernah tidur. Apa yang ditakdirkan untuk mu maka tetap untuk mu. Apa yang tidak harus kau ikhlaskan, kembalikan.
Jangan makan harta yang bukan hak kita jika tidak ia menjerat diri sendiri. Tetapi ini bukan tentang harta, ini tentang hak dan adil.
Lebih banyak kehadapan, saya dan adik beradik serahkan kepada yang lebih arif.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Ahmad Shah Rizal, 48, diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk mendepositkan semula wang tunai RM1.3 juta milik arwah isteri ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka.
Akaun tersebut turut dimiliki oleh anak sulung arwah, Aqbar Hakim Jasman, 25, dan wang itu perlu dimasukkan dalam tempoh 30 hari.
Difahamkan, Ahmad Shah Rizal sebelum ini pernah memfailkan tuntutan harta sepencarian, termasuk wang tunai RM1.3 juta yang disimpan di dalam peti besi sebelum diambil olehnya.
Imbas kembali, Allahyarham Faziani meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama suaminya terbabit kemalangan di Pattani, Thailand.
Usahawan itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya cedera. Tragedi itu berlaku pada bulan Ramadan ketika pasangan tersebut dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak tahfiz.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.