Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan bahawa pernikahan pasangan selebriti Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, dan Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, adalah sah mengikut hukum syarak.
Menurut kenyataan rasmi JAIP, hasil semakan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang menunjukkan pasangan itu telah dinikahkan pada 4 November 2021, jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.
Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.
Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa majlis pernikahan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum Syarak.
Terdahulu, Uqasha menerusi hantaran di Instagram mendakwa dirinya telah diperdaya apabila tarikh sebenar akad nikah tidak sama dengan yang tercatat pada sijil pernikahan.
Allah Maha Besar, Masya-Allah satu lagi. Aku dinikahkan dan diakad atas pengetahuan aku pada 5/11/2021 jam 9 pagi, tapi rupanya di sijil nikah aku dinikahkan 4/11/2021 jam 9.30 malam tanpa pengetahuan aku.
Dalam pada itu, prosiding pertama kes perceraian pasangan selebriti itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam terpaksa ditangguhkan ke 28 Oktober ini selepas Kamal tidak hadir kerana terikat dengan jadual penggambaran, walaupun telah dimaklumkan lebih awal mengenai tarikh prosiding.
Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd. Manaf, memaklumkan anak guamnya hadir ke mahkamah seawal jam 9 pagi namun kes tidak dapat diteruskan susulan ketiadaan defendan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.