Seorang pelajar cemerlang menggunakan guni bagi mengisi barangannya ke asrama untuk pendaftaran ke universiti baru-baru ini akan diberi bantuan kewangan.
Kisah pelajar perempuan itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang telah pun menghubungi remaja bernama Rafida Zaiddin tersebut dan hal itu dikongsikan Fadhlina menerusi satu hantaran di Facebook.
Difahamkan, Rafida telah mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menurut Fadhlina, dia tersentuh dengan keadaan remaja tersebut kerana kebetulan pada hari yang sama dia juga menghantar anaknya untuk sesi pendaftaran.
Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti.
Menurut Fadhlina, selepas menghubungi Rafida secara peribadi dia terus memastikan urusan beban kewangan serta keperluan yang diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian diuruskan serta merta.
Fadhlina turut berterima kasih kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Cikgu Rahman dan Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan Rafida kepadanya.
Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida!