Drama yang sedang hangat diperkatakan sekarang di Malaysia, 7 Hari Mencintaiku 3 memberikan pelbagai emosi bagi penonton.
Dalam satu episod baru-baru ini, watak utama Khuzairi (Shukri Yahaya) telah berkahwin dengan Nurul Ain (Wafariena) untuk menjaga ‘air muka’ bapanya Pak Samad (Kazar) yang dikatakan bertanggungjawab menyebabkan Nurul mengandung.
Oleh kerana keadaan tersebut, rata-rata penonton mempunyai persoalan tentang perkahwinan di antara dua watak di dalam drama berkenaan.
Persoalan yang dinyatakan adalah sama ada perkahwinan itu sah dari segi agama walaupun niatnya untuk menjadi ‘Pak Sanggup’ adalah untuk menjaga imej bapanya.
Susulan pertanyaan itu, penceramah bebas, PU Azman yang juga pelakon drama berkenaan tampil memberikan penjelasan.
Menurut PU Azman di dalam TikToknya, dia menjelaskan bahawa perkahwinan antara Khuzairi dan Nurul adalah sah di sisi mazhab Syafie.
PU Azman atau lebih mesra dikenali Cik Man turut membaca Surah An-Nisa’ ayat ke-24 untuk menguatkan lagi kenyataannya.
Tinjauan ke ruangan komen, netizen berterima kasih kepada Cik Man kerana memperjelaskan hukum perkahwinan berkenaan dari segi agama.