Beberapa tahun menyambut bulan Ramadhan hanya berdua sahaja bersama anaknya, tahun ini pelakon Izreen Azminda akui teruja kerana sudah ada suami tercinta, Ude Wahid untuk berbuka puasa bersama-sama.
Buat Izreen, Ramadhan pada tahun cukup bermakna sekali dan beliau sudah tidak sabar untuk memasak juadah kegemaran suaminya untuk berbuka dan sahur nanti.
Alhamdulillah, sambutan Ramadhan kali ini lebih bermakna sebab ada suami. Sebelum ini, kalau berbuka di rumah saya dengan ibu dan anak saja. Sejujurnya, saya tidak sabar nak menyediakan masakan kegemarannya iaitu asam pedas ayam.
Kalau hari biasa, suami suka masakan ringkas. Tidak perlu nak masak beriya-iya. Memadai baginya satu atau dua lauk saja. Apa yang penting kena pedas. Alhamdulillah, suami bukan jenis cerewet. Kalau teringin nak makan sesuatu, baru dia minta saya buat. Pendek kata, dia sangat mudah.
Ketika ditanya tentang soal cahaya mata, Izreen secara jujurnya menyatakan beliau dan suami tidak mempunyai sebarang perancangan dan menyerahkan hal itu kepada ketentuan takdir dan rezeki. Izreen bagaimanapun mengimpikan untuk menimang anak perempuan.