Apa perasaan anda sekiranya ada mulut jahat mempersoalkan status anak anda dan turut menuduh anda melakukan perbuatan tidak senonoh bersama lelaki lain? Geram, marah semua ada bukan?
Itulah yang dirasakan oleh pelakon Izreen Azminda apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk mencetuskan provokasi dan spekulasi dengan mempersoalkan status anak Izreen iaitu Adrian Umar bersama bekas suaminya, Riza Baharuddin.
Lebih biadap lagi, individu disebalik penyebaran fitnah itu turut memuat naik kapsyen berbentuk sindiran dan menyamakan anak Izreen Azminda dengan anak lelaki Amar Baharin dan Amyra Rosli. Dalam erti kata lain, ia bermaksud Izreen mempunyai hubungan dengan Amar sehingga melahirkan Adrian.
Tidak dapat menahan amarahnya lagi, Izreen menerusi akaun Instagramnya tampil membidas dakwaan tersebut dengan menyertakan tarikh perkahwinan serta tarikh lahir anaknya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan.
Izreen juga memberi amaran yang beliau tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan kerana sudah lama berdiam diri dan dihimpit pelbagai kontroversi.