Walaupun sudah berpisah, Izreen Azminda dan bekas suami Riza Baharuddin masih lagi mengekalkan hubungan sebagai kawan baik demi anak mereka Adrian Umar, tetapi ia tidak bermakna bahawa mereka akan merujuk semula kerana Izreen lebih selesa menganggap Riza sebagai kawan dan tidak mungkin perasaan cinta itu akan kembali.
Memang kami tidak bermusuh atau menjadikan alasan perceraian itu untuk berenggang. Mungkin ketika awalan perceraian kami terjadi, keadaan masih tegang dan semua itu baharu terjadi, lalu baik saya dan dia masing-masing mempunyai ego tersendiri. Ikutkan dua bulan selepas kami bercerai, kata sepakat sudah diperoleh untuk kami berbaik.
Sebaiknya kami memilih jalan selamat dan positif. Ia untuk kepentingan anak kami juga. Saya sendiri maklumkan kepadanya, bergaduh lama pun tiada guna kerana mahu atau tidak kami perlu berurusan juga kerana nak berjumpa anak. Saya selesa dengan silaturahim ini. Malahan saya tidak bertegas dalam soal anak. Dia boleh jumpa anak bila-bila masa pun.
Baru-baru ini, Izreen juga telah mengadakan majlis hari lahir dan aqiqah anaknya dimana kesemua perbelanjaan untuk majlis tersebut ditanggung sama rata oleh beliau dan bekas suami.
Pernah digosipkan bercinta bersama beberapa aktor baharu, Izreen bagaimanapun menafikan beliau sudah bertemu dengan pengganti bekas suaminya. Buat masa ini, beliau lebih selesa untuk hidup tanpa lelaki.