Sekitar awal tahun ini, pelakon Izreen Azminda, pernah diberitakan sedang mengenali seseorang dan mempunyai kesediaan untuk kembali bergelar isteri.
Menyatakan hatinya sudah dimiliki, Izreen bagaimanapun tidak mendedahkan identiti lelaki itu.
Dalam satu kenyataan terbaru kepada mStar Online, Izreen menyatakan yang dia tidak mahu terburu-buru mengatakan tidak sekiranya bakal suaminya itu sudah pun beristeri.
Saya tak nak kata tidak pada suami orang. Takut nanti apa yang kita tak nak itu yang Allah akan berikan.
Tak pasal-pasal apa yang kita cakap berbalik kepada kita sendiri pula.
Sikap berhati-hati ini sememangnya patut, kerana kadangkala kita mendabik dada mengenai prinsip kita, sehinggalah kita mengalami sendiri dan gagal mempertahankan prinsip yang sebelum ini kita uar-uarkan. Bagi Izreen tidak ada salahnya mengahwini suami orang kerana lelaki dibenarkan berkahwin empat asalkan berkemampuan.
Cuma, apa yang boleh saya katakan jika lelaki itu mampu, tak salah untuk dia nak kahwin lain sebab sememangnya mereka boleh ada empat orang isteri.
Bagaimanapun, kali ini, Izreen memberitahu masih belum bersedia berkahwin lagi, tidak seperti kenyataannya di awal tahun ini.
Buat masa ini saya tidak terfikir untuk mencari pasangan lagi. Memang teringin nak kahwin tapi banyak lagi perkara yang saya perlu dahulukan.
Baru-baru ini anak saya dijangkiti H1N1 dan ditahan wad selama empat hari dan apa yang berlaku membuatkan saya perlu ada dengan dia setiap masa.
Sebab itu, biarlah saya uruskan anak dan jika ada jodoh, insyaAllah saya akan berkahwin sekali lagi.
Begitulah pendirian Izreen. Mungkin Izreen hanya mengamalkan sikap berhati-hati, kerana tiada siapa tahu apa yang berlaku pada hari esok. Kadangkala hidup dirundung malang akhirnya bahagia mendatang. Kadangkala asyik menyulam bahagia akhirnya makan hati berulam jantung. Itulah kehidupan. –beautifulnara.com