Bencana banjir yang menimpa negara Malaysia baru-baru ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam pada setiap rakyat yang menetap disini.
Dapat dilihat banyak pihak yang berganding bahu membantu satu sama lain bagi meringankan bebanan mangsa-mangsa yang terjejas dan dalam pada itu, banyak juga aset kerajaan dikerah untuk ‘turun padang’.
Terbaharu, ada satu video yang dimuat naik di TikTok memaparkan sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meredah air banjir bagi menghantar bantuan kepada mangsa telah tular.
Oleh kerana telah tular, ia telah mendapat perhatian ramai sehinggakan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut berkongsi semula video itu di Facebooknya.
Ya, memang itu trak milik ATM. Siang malam redah banjir. Bawa mangsa yang terjejas. Setiap risiko dihadapi dengan berani dan berhati-hati.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut memberitahu ini baru satu yang dilihat secara kebetulan oleh orang ramai, masih banyak lagi aset ATM yang turun membantu mangsa di semua kawasan yang ditimpa banjir.
Tambahan lagi, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna TikTok @ninnna1975 kerana telah berkongsikan video berkenaan di platform media sosialnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending pada pautan di bawah.