Pelakon Yusuf Bahrin menafikan spekulasi yang mengatakan rumah tangganya bersama penyanyi Zizi Kirana sedang bergolak.
Menurut Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, dia sendiri tidak pasti bagaimana khabar angin mengenai konflik rumah tangga mereka boleh timbul.

“Tidak ada apa saya nak terangkan di sini, kami okay (hubungan). Semua dalam keadaan yang baik, Alhamdulillah.”
“Saya pun tak faham kenapa spekulasi (konflik rumah tangga) itu timbul, mungkin orang tak nampak kami kongsi gambar bersama di media sosial.”
Yusuf berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa LOL Entertainment yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Rabu.
Menurutnya lagi, dia dan Zizi sebenarnya sengaja memilih untuk tidak terlalu berkongsi kehidupan rumah tangga di media sosial.
“Kami memang sengaja tidak berkongsi apa-apa di media sosial buat masa ini. Masing-masing fokus pada kerja.”
“Biarlah orang nak buat spekulasi sendiri. Apa yang penting saya okay tak perlu risau,” ujarnya.
Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu bagaimanapun menghargai keprihatinan peminat yang sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan mereka.
“Kalau orang nak buat spekulasi sendiri itu hak masing-masing. Tapi lebih baik kita doakan kesejahteraan semua orang. Saya perlukan doa kalian kerana kita tak tahu apa yang akan jadi di masa hadapan,” luahnya.
Terdahulu, rumah tangga Yusuf dan Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 41, menjadi perhatian apabila mereka didakwa sudah tidak lagi mengikuti laman sosial masing-masing.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan All Together Now Malaysia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

