Entah kenapa walaupun pihak JAKIM sudah menjalankan siasatan, sehingga kini isu jantina Nur Sajat masih lagi tiada jalan penyelesaian dan menjadi tanda-tanya ramai. Disebabkan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuklah dakwaan mengatakan beliau mengubah jantinanya pada kad pengenalan minggu lalu.
Susulan perkara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada Sajat untuk mengubah status jantina pada kad pengenalan beliau.
Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan jika ada individu yang ingin membuat permohonan untuk menukar jantina pada kad pengenalan, tetapi mereka perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan dan mempunyai alasan yang kukuh untuk penukaran tersebut.
Dalam proses permohonan penukaran jantina (pada kad pengenalan), ada beberapa aspek yang akan dilihat, iaitu dokumen kelahiran yang disahkan oleh doktor. Di dalam sijil kelahiran terdapat tiga kategori jantina yang diletakkan iaitu lelaki, perempuan dan diragui.
Sekiranya jantina individu berkenaan (yang memohon menukar jantina pada kad pengenalan) disahkan oleh doktor sebagai kategori diragui, mereka boleh mengemukan permohonan untuk memilih salah satu jantina yang lebih dominan apabila sudah dewasa.
Walaubagaimanapun, JPN akan menolak permohonan daripada individu yang sudah disahkan jantinanya sejak dilahirkan oleh doktor seperti tertera pada sijil lahir. Harapnya dengan penjelasan lanjut JPN ini, masyarakat akan memahami tiada individu yang boleh sesuka hati menukar jantina mereka.