Susulan kegagalan beliau untuk bekerjasama dengan memberi nombor telefon kepada pihak media untuk urusan di masa hadapan sehingga membuatkan nama penyanyi Hazama sebagai mentornya turut terjejas, Usop Mentor Milenia 2017 tampil memohon maaf kepada pihak media atas tindakannya itu. Usop mengakui beliau masih terlalu baru didalam dunia hiburan dan ada beberapa perkara yang beliau masih belum faham.
Abang Hazama meminta saya untuk tidak memberikan nombor kepada orang tidak dikenali bagi mengelakkan masalah. Namun, saya salah tafsiran seterusnya menyukarkan kerja pihak media. Jangan pula disebabkan sikap naif saya nama Hazama terpalit sama kerana bukan beliau pencetus kontroversi ini. Semuanya disebabkan silap faham daripada saya.
Saya bermula dari kosong. Bidang seni adalah satu dunia baharu yang perlu saya pelajari. Saya harap diberikan masa untuk mengenali selok-belok dalam lapangan ini.
Usop juga menafikan dakwaan kononnya beliau sudah mula berlagak diva meskipun belum setahun jagung bergelar penyanyi.
Tidak timbul istilah mendabik dada kerana saya sedar sebagai pendatang baharu tiada ruang untuk saya bersikap bongkak. Secara perlahan-lahan saya cuba memperbaiki cara berkomunikasi di hadapan media.
Terdahulu, beberapa wartawan tempatan menyelar sikap penyanyi baru, Usop Mentor Milenia 2017 yang enggan memberikan kerjasama dan dikatakan agak kekwat untuk memberikan nombor telefonnya kepada pihak media.
Selepas itu, Usop memberi kenyataan bahwa beliau hanya mengikut arahan mentornya, Hazama yang memberitahu beliau tidak perlu memberikan nombor telefon kepada mana-mana pihak.
Walaubagaimanapun, Hazama berkata beliau memberitahu Usop untuk tidak memberikan nombor telefon kepada orang yang tidak berkaitan ataupun dikenali dalam industri muzik sahaja.