Beberapa hari lalu, penyanyi baharu Ismail Izzani dihimpit kontroversi hangat apabila bekas kekasihnya, Sharifah Rose mendedahkan Ismail pernah berlaku curang sebanyak enam kali. Ramai juga peminat beliau yang kecewa dengan berita tersebut.
Kisah mereka menjadi bualan hangat di media sosial dan akhirnya Ismail tampil mengakui kesilapannya itu. Baru sahaja berusia 18 tahun, Ismail menganggap apa yang berlaku adalah satu pengajaran baginya dan akur sekiranya beliau terus dikecam.
Saya akur jika terus dikecam, malah terbuka dengan setiap komen yang diberi. Sebagai remaja, mungkin saya tidak bersedia untuk mempunyai hubungan. Tetapi, saya sudah belajar daripada pengalaman itu.
Saya mohon maaf kerana membuat peminat sedih dan kecewa. Selepas perkara ini menjadi bualan netizen, saya dan Sharifah Rose ada berbincang. Kami juga sudah saling memohon maaf.
Mengakui agak tertekan isu ini, Ismail bagaimanapun tidak mahu terus mengenangkan perkara lalu dan mahu memberikan fokus kepada bidang nyanyian.
Ismail masih lagi hijau dalam industri hiburan tempatan dan isu peribadi seperti ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada kariernya yang baharu sahaja ingin bermula. Namun, harapnya beliau tidak mengulangi kesilapan yang sama. Tidak mahulah nanti hanya akan dikenali sebagai selebriti dengan kontroversi sahaja kan?