Pernah memberitahu ingin menarik diri daripada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31 kerana sedar dengan kemampuan vokalnya tetapi  membatalkan hasratnya itu selepas dipujuk oleh penulis lirik serta komposer lagu Mungkin Saja iaitu Kunci Demak, ramai yang menganggap Janna Nick sengaja mencetuskan gimik dan publisiti murahan kerana seakan berdolak-dalik mengenai penyertaannya itu.
Namun, Janna enggan ambil peduli dengan segala kritikan yang dilemparkan kepada dirinya.
Selagi saya tahu apa yang saya buat, saya tidak peduli apa orang nak cakap. Memang sebelum ini saya berat hati dan rasa macam nak tarik diri sebab tak yakin dan rasa tak layak tetapi lepas berbincang saya batal hasrat itu.
Saya tidak perlu panik, risau atau terlalu memikirkan benda-benda remeh begitu sebab saya tahu apa yang saya buat.
Pernah berhadapan dengan pelbagai kontroversi sebelum ini membuatkan Janna tidak cepat melatah apabila dikritik.
Pada saya tak payahlah nak melatah. Dulu, mungkinlah saya beria-ia nak mempertahankan diri kononnya berani kerana benar.
Sekarang ini rasanya lebih baik berdiam. Yang penting jaga diri dan kerja saja. Yang suka pada kita akan tetap suka manakala yang tak suka akan tetap tak suka.
Biasalah kadang-kadang seseorang itu tersilap dalam melakukan sesuatu dan apabila difikirkan semula dan dipujuk mungkin Janna Nick mahu mencabar dirinya untuk bersaing di pentas besar seperti Muzik-Muzik 31.