Perbincangan mengenai hukum penyertaan dalam Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) kini hangat diperkatakan di media sosial, khususnya di platform Threads.
Ramai netizen mula mempersoalkan perkara itu selepas melihat acara larian popular tersebut ditaja oleh institusi kewangan.

Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah:
“Bukan ke KLSCM ni haram sebab ada kaitan dengan bank? Kenapa masih ramai join, siap post dekat IG Story lagi? Ada yang frust sebab slot full marathon dan half marathon sold out cepat.”
Isu tersebut timbul apabila sebahagian netizen beranggapan bahawa penglibatan bank sebagai penaja mungkin mempunyai kaitan dengan hukum riba, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penyertaan dalam acara berkenaan dibenarkan atau tidak.
Namun begitu, ada juga yang menjelaskan bahawa ramai keliru mengenai perbezaan antara penganjur dan penaja sesuatu acara.
Bagi KLSCM, acara tersebut sebenarnya dianjurkan oleh Dirigo Events, manakala Standard Chartered bertindak sebagai penaja utama.
Perkara ini turut membuka perbincangan lebih luas mengenai acara lain yang menerima tajaan daripada syarikat kewangan atau insurans.
Sebahagian pihak berpendapat tajaan tidak semestinya bermaksud peserta secara langsung mempromosikan institusi kewangan tersebut. Namun ada juga yang berpandangan bahawa apabila nama penaja dipaparkan secara jelas pada acara, ia tetap mempunyai unsur sokongan secara tidak langsung.
Isu ini sebenarnya pernah dijelaskan sebelum ini dan turut dirujuk dalam laporan serta penjelasan yang pernah disiarkan oleh Sinar Harian.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pernah memberikan pandangan berhubung hukum menyertai program yang dianjurkan atau ditaja oleh institusi yang berasaskan sistem riba.

Menurut beliau, umat Islam tidak digalakkan menyertai acara yang boleh menjadi wasilah atau jalan secara tidak langsung kepada perkara yang jelas diharamkan.
Jika seseorang mengetahui latar belakang penaja dan masih memilih untuk menyokong atau mempromosikannya secara sedar, maka perkara tersebut boleh dipersoalkan dari sudut dosa dan tanggungjawab.
Namun, jika seseorang tidak mengetahui atau tidak menyedari siapa penaja program berkenaan, diharapkan mereka mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pihak penganjur supaya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Islam serta memastikan program yang dianjurkan tidak melibatkan unsur penipuan, riba atau perkara yang bercanggah dengan syariat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

