Pempengaruh popular, Mek Yun tampil mendesak pihak berkuasa agar segera bertindak ke atas sebuah grup Facebook bernama ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang disalah guna untuk memuat naik gambar remaja perempuan dengan niat tidak senonoh.
Lebih mengejutkan, gambar lama Mek Yun sendiri ketika zaman persekolahan di SMK Bukit Jambul turut dimuat naik tanpa sebarang kebenaran ke dalam grup tersebut
Menerusi hantaran di Threads, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas menerima mesej daripada pengikutnya di Instagram yang memaklumkan tentang aktiviti tidak bermoral tersebut.
Saya tidak sanggup mahu skrol akaun Facebook dan berasa jijik dengan tindakan lelaki-lelaki yang meninggalkan mesej yang lucah di ruangan komen.
Saya menggesa semua pihak untuk membuat laporan ke atas akaun tersebut agar mereka tidak dapat akses lagi.
Selain itu, pempengaruh itu amat kesal dengan perbuatan yang tidak bertamadun dan sudah melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Saya juga mendapati isi kandungan di dalam forum berkenaan dipenuhi dengan pelbagai gambar pelajar sekolah yang dijadikan sebagai bahan perbualan fantasi jelik mereka terutama terhadap remaja bawah umur.
View on Threads
Difahamkan, grup Facebook berkenaan mempunyai kira-kira 12,000 ahli dan dipenuhi dengan komen-komen melampau yang menjijikkan.
Lebih membimbangkan, ia bersifat terbuka di mana sesiapa sahaja boleh menyertai dan memuat naik hantaran tanpa kawalan.
Antara kandungan yang ditemui termasuk gambar-gambar kanak-kanak perempuan disertakan dengan kapsyen berunsur lucah, menjadikan ia sangat tidak wajar dan berbahaya.
Lebih mengejutkan, grup ini sebenarnya telah wujud sejak 15 Mei 2014 lagi.