Isu Gaza: Sempadan Mesir Ditutup Semula, Iran Seru Umat Islam Bersatu

Trending

Isu Gaza: Sempadan Mesir Ditutup Semula, Iran Seru Umat Islam Bersatu

Pihak berkuasa Palestin berkata Mesir sudah menutup semula pintu sempadan di Rafah selepas melonggarkan sekatan perjalanan itu hanya beberapa hari lalu ketika serangan rejim Zionis terus meningkat, lapor Press TV.

Advertisement

“(Kami) kesal dengan langkah yang diambil oleh Mesir ini,” kata Iyad al-Bozum, jurucakap Kementerian Luar di Gaza pada Jumaat.

Katanya lagi, keputusan Mesir itu menunjukkan betapa ia tidak peduli dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Pihak berkuasa di Gaza telah menyiapkan ambulans dan bas untuk membawa mereka yang cedera keluar dari Gaza selepas negara jiran itu membuka sempadan di Rafah pada Rabu.

Serangan tentera Israel sejak Selasa lalu membunuh sekurang-kurangnya 130 orang dan menyebabkan kira-kira 1,000 yang lain cedera. Laporan dari Gaza menyebut satu pertiga mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.

Israel yang digesa oleh dunia supaya menghentikan serangan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu berbuat demikian. Ia sebaliknya sudah mengerahkan lebih kurang 20,000 orang tentera simpanan ke sempadan bersiap sedia untuk serangan darat.

Pihak berkuasa Mesir menutup hampir sepenuhnya pintu sempadan dengan Gaza sejak bekas Presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera pada Julai 2013 atas alasan keselamatan.

Pintu sempadan Gaza ditutup sejak Jun 2007 selepas Hamas menang pilihan raya setahun sebelumnya. Penutupan sempadan itu menambah kesempitan hidup lebih kurang 1.7 juta penduduk Palestin yang hidup bagai dalam penjara terbuka di Gaza.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi memberi amaran ketegangan yang semakin meningkat di Gaza akan membunuh lebih ramai “orang yang tidak berdosa”

Beliau memberi amaran itu ketika korban serangan tentera rejim Zionis sepanjang lima hari lalu mencecah 127 orang.

Jurucakap Abdel Fattah berkata kerajaan Mesir berhubung dengan kedua-dua pihak, Hamas dan Israel selepas presiden itu bertemu wakil khas kuartet Asia Barat, Tony Blair di Kaherah.

Presiden Iran, Hassan Rouhani menyeru semua negara Islam agar menggembleng sumber dan kekuatan untuk menghentikan keganasan Israel ke atas Gaza, lapor Press TV.

Katanya, hanya negara-negara Islam yang bersatu akan menjadikan Israel faham bahawa ia tidak akan untung apa-apa daripada terus-menerus menindas Palestin.

“Rejim Zionis tidak harus diberikan gambaran bahawa dunia akan membisu dan melihat saja kekejamannya.

“Atas kezaliman yang dilakukan ke atas warga Palestin, semua negara Islam mesti menggunakan kuasanya untuk menghalang penindasan itu berterusan,” kata Rouhani seperti dipetik oleh media Iran itu.

Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...