Pelakon penuh kontroversi, Rita Rudaini tampil menyelar dan mempersoalkan tindakan segelintir netizen yang nampaknya tidak berpuas hati dengan pemberian dos tambahan seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.
Rita menerusi ruangan Instagram Story miliknya telah memuat tangkap layar artikel Astro AWANI bertajuk ‘Khairy Jawab Kemarahan Warganet Mengenai Dos Penggalak Keempat’.
Ujar Rita, segelintir rakyat bersikap seperti ‘habis madu sepah dibuang’ kerana telah mengkritik tindakan Khairy yang membawa masuk ‘penawar’ tambahan yang sebelum ini dipuji dan disanjung-sanjung.
Habis madu sepah dibuang, dulu dialah yang tolong korang bawa masuk penawar untuk korang, korang puja dia, korang marah orang lain, korang kata penawar itu ‘ikhtiar’. Sekarang korang nak marah dia kenapa? Memang tak kenang budi.
Dulu dia bagi 1, korang minta 2, sekarang dia bagi lebih korang marah kenapa? Bukan kena bayar pun..korang ni memang tak kenang dek untung.
Pelakon drama Kutub Utara Kutub Selatan itu sebelum ini memang diketahui lantang menyuarakan pandangan mengenai vaksin COVID-19 dan memilih untuk digelar sebagai ‘pro-safe’ dan secara terangan menolak pengambilan suntikan pelali itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang menjalankan kajian untuk memberikan dos ke-4 bagi meningkatkan imunisasi dan daya ketahanan penerima terhadap jangkitan wabak pembunuh itu.