Menyatakan dirinya sudah mendengar semua pengakuan dan memaafkan kedua-dua belah pihak yang terlibat, penyanyi Nora Ariffin tampil membuat pengakuan menerusi sebuah entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Ujarnya, anak perempuannya itu juga menerima hukuman mengikut hukum agama.
“Assalamualaikum. Saya sudah mendengar semua pengakuan. Saya juga sudah memaafkan semua orang. Saya juga sudah menghukum anak saya mengikut hukum agama.”
Dedahnya lagi, beliau amat berharap agar anaknya itu bertaubat dan memohon keampunan dengan kesilapan yang telah dilakukan.
“Biarlah dia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah swt. Buat masa ni, saya hanya berserah pada Allah SWT. Moga menjadi pengajaran dan iktibar buat semua. Insya-Allah. Terima kasih buat semua.”
Terdahulu, viral sepotong video yang memaparkan aksi bercumbu anak kepada penyanyi itu dengan remaja lelaki yang dikenali sebagai Zuher.
Rentetan aksi tidak beradab itu, video terbabit kemudiannya mendapat kecaman hebat daripada netizen dan dianggap telah mencalarkan reputasi Nora sebagai artis yang bersih dari kontroversi selama ini.
Bagaimanapun, Zuher khabarnya telah membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan penularan video tersebut.