Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” atau seumpamanya bukan perakuan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.
Ketua Pengarah JAKIM, Sirajuddin Suhaimee, berkata istilah yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
Kita menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau majlis agama islam negeri (MAIN), mahupun jabatan agama islam negeri (JAIN).
Menurut beliau, istilah tersebut didakwa digunakan oleh pihak terbabit untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa produk atau premis yang mereka iktiraf selari dengan prinsip Islam — iaitu berkualiti, bersih dan selamat.
Namun, Sirajuddin menjelaskan bahawa hanya JAKIM, MAIN atau JAIN mempunyai kuasa rasmi untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran menggunakan logo Halal Malaysia.
Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan MAIN atau JAIN diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada pihak diperakukan.
Tambah beliau, sebarang penggunaan logo, simbol atau istilah yang membawa maksud halal oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN adalah tidak sah dan menyalahi peraturan.
JAKIM dalam kenyataan itu turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan istilah atau logo yang menyerupai tanda halal rasmi, bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan hanya produk serta premis yang benar-benar diiktiraf halal digunakan oleh masyarakat Islam.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
