Setelah agak beberapa lama mendiamkan diri, pelakon Hafidz Roshdi akhirnya tampil membuka mulut mengenai isu kontroversi yang terpalit pada dirinya hujung minggu lalu.
Ditemui media, Hafidz berkata dia tidak pasti dari mana datangnya khabar angin tersebut kerana kehidupannya bersama isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri berada dalam keadaan baik dan harmoni.
Jelasnya lagi, dia lebih selesa untuk tidak menunjuk mengenai kehidupan keluarganya di media sosial dan ingin menjadikan platform itu untuk tujuan kerja sahaja.
Hafidz juga menafikan dakwaan mengenai foto yang dimuat naik di Instagram adalah foto lama.
Saya gunakan IG untuk kerjaya saya. Saya tak post foto isteri saya kerana privacy dan isteri hanya untuk tatapan saya.
Saya muat naik gambar terbaharu untuk menjawab fitnah orang ramai tapi ada juga yang cakap bukan-bukan. Terpulanglah saya dah tak boleh nak buat apa dah.
Dalam pada itu, pelakon yang lahir daripada program realiti TV Hero Remaja ini juga memaklumkan dia dan isteri tidak terkesan ataupun tertekan apabila diasak isu panas seperti ini.
Isteri saya okay sahaja dan kami hidup seperti biasa, saya juga masih bekerja seperti biasa. Tiada pun rasa tertekan. Dalam hal ini biarlah saya uruskan dan pesan kepada isteri biarlah berdiam.
Terdahulu, nama Hafidz menjadi bualan netizen apabila dia didakwa ada bermesej lucah dengan wanita lain dan tergamak memadam foto isterinya di media sosial.