Sejak beberapa minggu ini, ada khabar angin mengatakan isteri kepada pelakon Izzue Islam iaitu Awin Nurin sudah hamil berdasarkan satu foto di Instagram yang seakan menampakkan perutnya sedikit berisi. Malah, ruangan komen di foto berkenaan penuh dengan ucapan tahniah buat Izzue dan Awin.
Tidak mahu salah faham ini berterusan, Awin menjelaskan beliau masih lagi belum berbadan dua tetapi menganggap pertanyaan orang ramai berkaitan cahaya mata sebgai satu doa buat mereka.
Tidaklah, setakat ini belum ada rezeki lagi untuk dikurniakan cahaya mata. Mereka saja usik-usik dan saya tidak terasa hati pun.
Memang ramai yang bertanya mungkin kerana baju saya besar waktu itu, saya anggap ia seperti satu doa buat kami, mana tahu satu hari nanti Allah akan makbulkan.
Hampir tiga tahun berkahwin, Awin memberitahu beliau menyerahkan soal cahaya mata kepada ketentuan takdir dan setakat ini beliau belum mencuba sebarang rawatan untuk hamil.
Saya menyerahkan perkara itu kepada takdir dan rezeki sahaja, setakat ini belum ada lagi berusaha untuk menjalani rawatan-rawatan untuk hamil termasuk IVF.
Insya-Allah kalau ada rezeki anak nanti saya akan beritahu kepada semua, apa yang penting terus doakan kami supaya diberi rezeki.
InshaAllah ada sahaja rezeki untuk Izzue dan isterinya bergelar ibu bapa. Teruskan usaha dan berdoa, tidak perlu rasa tertekan dengan tanggapan orang ramai.