Istana Seri Kinabalu menolak sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan ahli keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dengan insiden kematian seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar.
Dalam satu kenyataan rasmi kepada Bernama pada Khamis, Istana Seri Kinabalu menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan merupakan satu fitnah yang boleh menjejaskan nama baik keluarga Tun Musa.
Pihak Istana turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah serta mengingatkan bahawa tindakan menyebarkan berita tidak sahih boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada polis atau Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Bukit Aman untuk dianalisis dengan lebih teliti sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Mangsa, seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I sekitar jam 11 pagi pada 17 Julai, sehari selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.