Israel dan Hamas dilaporkan mencapai persetujuan bagi fasa pertama perjanjian Gaza yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS), membolehkan pembebasan semua tebusan Israel, umum Presiden AS Donald Trump pada Rabu.
Saya sangat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas bersetuju dengan Fasa pertama Rancangan Keamanan kami.
Ini bermakna SEMUA tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kuat, tahan lama dan kekal.
Pengumuman itu hadir sehari selepas ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan serangan balas besar-besaran rejim Zionis terhadap Gaza, mengakibatkan kemusnahan teruk dan angka korban yang amat tinggi.
Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 67,000 penduduk terbunuh dan sebahagian besar wilayah itu musnah sepenuhnya sejak Israel melancarkan serangan tenteranya pada 7 Oktober 2023.
Di pihak Israel, serangan awal Hamas itu telah mengorbankan kira-kira 1,200 orang, manakala 251 individu dijadikan tebusan dan dibawa ke Gaza. Daripada jumlah itu, 20 daripada 48 tebusan yang masih ditahan dipercayai masih hidup, menurut pegawai Israel.
Sementara itu, Trump turut memaklumkan bahawa beliau mungkin akan berkunjung ke Mesir hujung minggu ini, di mana wakil AS kini sedang mengadakan rundingan akhir bagi memeterai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan secara rasmi.
Langkah ini disifatkan sebagai perkembangan diplomatik paling signifikan sejak konflik berdarah Gaza bermula dua tahun lalu — sekali gus memberi harapan baharu ke arah penghentian peperangan dan pemulihan keamanan di rantau itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.