Pihak berkuasa Israel dikhabarkan menerima tawaran bantuan dari Palestin untuk memadam kebakaran besar yang sedang melanda seluruh negara haram berkenaan.
Laporan Haaretz melaporkan, pihak Palestin telah menghantar empat pasukan bomba mereka ke negara berkenaan dalam usaha membantu memadam kebakaran.
Perkara ini disahkan oleh seorang pegawai kanan pihak penyelamat Israel semalam. Katanya Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah itu menyelia kerjasama di antara Palestin dan anggota bomba Israel.
Sehingga kini kebakaran menyebabkan sekurang-kurangnya 130 cedera, kebanyakannya akibat terhidu asap dan masih belum ada laporan melibatkan korban jiwa.
Dalam satu kenyataan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan kebakaran berkenaan kemungkinan disengajakan dan tidak menolak ia sebagai tindakan pengganas.
“Setiap api yang disebabkan oleh pembakaran dengan niat, atau hasutan untuk menggalakkan pembakaran dengan niat, akan dilihat sebagai tindakan pengganas,” kata Netanyahu.