Pemerintah Israel telah mengarahkan badan perisikannya, Mossad untuk meminta bantuan bagi membeli kit ujian coronavirus daripada negara-negara lain termasuklah dari negara Muslim. Selain daripada meminta bantuan dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka, Israel juga meminta bantuan dari negara Arab dan Muslim.
Israel kini dilaporkan mempunyai kekurangan bekalan perubatan bagi menangani masalah penularan wabak COVID-19 di negara mereka. Oleh itu, kedutaan besar Israel dan Mossad diarahkan untuk mendapatkan bantuan perubatan dari negara luar termasuklah negara Muslim.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meminta pertolongan Mossad dalam hal ini memandangkan badan perisikan itu mempunyai hubungan yang meluas dengan negara-negara yang lain. Terutamanya hal melibatkan bantuan perubatan yang boleh diminta dari negara luar.
Israel dilihat cuba menghampiri negara-negara Arab dan Muslim yang mempunyai pakar perubatan yang ramai dalam hal ini.
Usaha ini mungkin tidak berhasil memandangkan Israel tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara-negara tersebut. Pembelian 100,000 kit ujian COVID-19 dilaporkan sudah selamat tiba di Israel pada minggu lalu oleh Mossad namun ianya hanyalah satu usaha yang sia-sia.
Ini kerana apa yang Kementerian Kesihatan Israel mahukan adalah tabung ujian untuk mengumpulkan sampel pesakit COVID-19. Namun, Israel tidak memberikan apa-apa maklum balas ketika ditanya mengenai hal ini. Malah mereka mempertahankan tindakan Mossad itu dengan menyatakan kit ujian itu akan digunakan untuk tujuan yang lain kelak.